Khamis, 18 Mac 2010

Pelbagai Resepi Daging

Pergedil Daging


Bahan-bahan: (menghasilkan 8 ketul pergedil)

2-3 biji kentang (kupas kulit dan potong 10)

50 gm daging dikisar halus

1 sudu teh biji lada hitam ditumbuk halus

2 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih ditumbuk kasar

1 sudu besar daun sup dan bawang yang dihiris halus
1 biji telur dipukul sedikit

garam secukup rasa (+/- 1/2 sudu teh)

Cara membuatnya:

1. Goreng kentang hingga keperangan. Angkat dan tumbuk hingga halus.

2. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk bersama kentang yang telah ditumbuk tadi. Gaul rata seeloknya dengan tangan.

3. Bentukkan jadi bulat leper seperti di dalam gambar. Buat hingga habis.

4. Panaskan minyak untuk menggoreng. Celupkan kepingan pergedil ke dalam telur dan goreng hingga berwarna perang gelap.

Sedia dinikmati bersama lauk-pauk yang lain atau boleh juga dimakan begitu sahaja.

Daging Goreng Kunyit

Bahannya sama dengan masak goreng kunyit yang lain cuma ganti dengan daging.

Bahan-bahan:

300 gm daging, kalau dapat batang pinang paling bagus.- hiris nipis melawan urat, basuh bersih dan toskan

garam dan kunyit secukupnya

1 biji cili merah dihiris serong

1 urat kacang panjang dipotong 1 inci panjang

1/2 labu bawang besar kuning-hiris membujur

1 ulas bawang putih dihiris

3 biji cili api diketuk

sedikit bunga kobis dipotong kecil

minyak untuk menggoreng

Cara memasak:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Gaulkan daging dengan garam dan kunyit. Masukkan daging. Goreng seketika. Masukkan bawang besar, bawang putih, cili api dan cili merah. Goreng lagi hingga wangi.masukkan kacang panjang. Tambahkan sedikit air.Perlahankan api. Tutup kuali dan biar daging empuk.

2. Apabila daging empuk, masukkan bunga kobis dan rasa masinnya. kalau belum cukup, tambah sedikit garam. Kacau rata dan sedia dihidang.

Daging Masak Kicap Berlada


Bahan-bahan:(hidangan untuk 5 orang)

500 gm daging lembu dihiris nipis- dibasuh dan toskan

3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1/2 inci halia dihiris halus

kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang serba satu

1 labu bawang besar dihiris tebal-tebal melintang (gelang)

2 biji cili merah dibelah 4

1/2 cawan kicap manis

1 sudu besar cili kisar

1 sudu teh lada hitam ditumbuk halus

1 sudu teh sos tiram

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga wangi dan bawang keperangan. Masukkan cili kisar dan tumis 1/2 minit. Masukkan 1/2 cawan air.

2. Masukkan kicap dan daging. Tutup periuk. perlahankan api dan biar daging mereneh hingga empuk. (lebih cepat jika guna periuk tekanan)

3. Bila daging empuk, masukkan lada hitam, bawang besar, cili merah, sos tiram dan garam. Biar mendidih dan kuah agak pekat lebih kurang 5 minit. Tutup api dan sedia dihidang.

Sup Siam Tulang Rusuk

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 kg tulang rusuk dipotong kecil

200 gm daging campur (yang segar ye..)

5 ulas bawang merah dihiris

1 inci halia dihiris halus

2 ulas bawang putih dihiris halus

serba satu bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga

1 bungkus sup bunjut Adabi atau Sup Tulang

1 biji tomato dibelah 6

3 biji cili padi diketuk

1 batang seleri dihiris serong

1 biji limau nipis, diperah airnya

garam secukup rasa

minyak untuk menumis

1 labu bawang holland sederhana besar dibelah 8

daun sup dan daun bawang secukupnya

Cara membuatnya:

1. Basuh tulang dan daging dan toskan. Masukkan ke dalam periuk dan tambahkan air secukupnya hingga daging dan tulang tenggelam. Rebus hingga empuk. Tutup periuk dan gunakan api perlahan untuk hasil memuaskan. Gunakan periuk tekanan jika ada, untuk menjimatkan masa.

2. Apabila daging telah empuk, masukkan sup bunjut dan sediakan bahan tumisan. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah ratus hingga wangi dan bawang keperangan. Tuangkan ke dalam periuk sup.

3. Biarkan sup mereneh dengan api perlahan. Masukkan cili padi, bawang besar holland, tomato,seleri dan garam. Masukkan juga daun sup dan daun bawang yang dihiris halus.

4. Tutup api apabila cukup rasanya. Cedok sup ke dalam mangkuk dan perahkan air limau nipis. Taburkan bawang goreng jika suka. Sedia dinikmati.

*** tambahkan cili padi jika suka lebih pedas dan air limau nipis jika suka lebih masam.

Gulai Pekat Daging Rusa

Bahan-bahan: (hidangan 5-8 orang)

500 gm daging rusa -dihiris nipis dan kecil- dibersihkan

2 sudu besar rempah kari ayam/daging- dibancuh dengan 1 cawan air

1 sudu besar kerisik yang ditumbuk hingga pecah minyak

1 tangkai daun kari

3 ulas bawang merah dihiris

2 ulas bawang putih dihiris

1/2 inci halia dihiris halus

1 inci kulit kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, bunga cengkih

1 sudu besar cili kisar

kentang dibelah 4 jika suka

1 cawan santan kelapa daripada 1/2 biji kelapa

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah 3 serangkai hingga wangi dan bawang keperangan.

2. Masukkan rempah kari dan daun kari dan tumis hingga pecah minyak. Masukkan cili kisar. Tumis lagi 2 minit sambil dikacau. Gunakan api perlahan.

3. Masukkan daging dan 1 cawan air. Gaul rata dan tutup periuk. Kecilkan api dan biar daging mereneh hingga empuk.

4. Apabila daging empuk masukkan kerisik dan santan kelapa. Masukkan garam dan kentang. masak hingga kentang empuk dan kuah pekat.

5. Tutup api dan sedia dihidang.

Daging Masak Lada Hitam dengan Kailan

Bahan-bahan:

500 gm daging dipotong nipis (kalau bukan batang pinang, rebus dulu hingga empuk dan simpan airnya untuk diguna masa memasak nanti)

4 ulas bawang putih dan 3 ulas bawang merah ditumbuk kasar

1/4 cawan lada hitam biji ditumbuk/kisar halus

1 sudu besar sos tiram

2 sudu besar kicap manis

1 sudu teh tepung jagung dibancuh dengan sedikit air

1 ikat kailan atau 'baby kailan' ikut citarasa

secubit garam

Cara-cara:

1. Potong kailan 1 inci panjangnya. Asingkan batang yang dihiris nipis jika guna kailan besar. Ketepikan.

2. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumiskan bawang merah dan putih hingga wangi.

3. Masukkan batang kailan dan 1/4 cawan air (atau air rebusan daging). Masukkan daging dan tutup periuk. Perlahankan api dan biar hingga daging empuk.

4. Setelah daging lembut, masukkan lada hitam, kicap dan sos tiram. Kacau hingga kuah pekat (supaya lada dan sos benar-benar masak)

5. Masukkan daun kailan, sedikit air dan sedikit garam. Kacau goreng hingga kailan lembut. Masukkan tepung jagung, kacau dan tutup api. Sedia dinikmati bersama nasi.

Sambal Daging

Bahan-bahan:

500 gm daging batang pinang (Potong nipis agar cepat masak)

5 ulas bawang merah dan 1/2 labu bawang besar dikisar

3 ulas bawang putih ditumbuk kasar

1/2 inci halia ditumbuk kasar

3/4 cawan cili kisar

1/2 cawan santan sederhana pekat

garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak masak di dalam periuk.

2. Tumis semua bawang dan halia sehingga wangi.

3. Masukkan cili kisar. Tumis sampai pecah minyak. Masukkan daging. Kacau sedikit dan tutup periuk. Perlahankan api dan biarkan hingga daging empuk.

4. Bila daging empuk, masukkan santan garam dan sedikit gula. Masak hingga kuah pekat. Jika suka ada rasa masam sikit, tambahkan 1 sudu besar air asam jawa. Bila kuah pekat cantik, dan cukup rasanya, tutup api dan boleh dihidang.

Daging Masak Merah

Bahan-bahan:

500 gm daging- potong kiub besar dan rebus( guna periuk tekanan lagi bagus)

3 ulas bawang merah ditumbuk kasar

3 ulas bawang putih ditumbuk kasar

1/2 biji lada benggala hijau dipotong panjang

1 biji cili merah dipotong serong

sedikit bunga kobis

1/2 biji bawang besar kuning dipotong membujur

1 sudu besar sos tiram

3 sudu besar sos cili (ikut citarasa)

1 sudu besar cili kisar

1 sudu kecil sos ikan

sedikit pewarna merah

Cara-cara:
1. Keluarkan ketulan daging yang telah direbus tadi. Hiris nipis-nipis. Campurkan dengan 1/2 cawan air rebusan di dalam mangkuk. Letak sedikit pewarna merah.

2.Selepas 10 minit, toskan daging dan ketepikan dulu air perapan tadi.

3. Panaskan 2 sudu besar minyak. Goreng sebentar daging.. ada bau sedap keluar.. lepas tu terus masukkan bawang merah, putih, cili merah, cili padi. Tumis seketika hingga wangi.

4. Masukkan cili kisar. Goreng sebentar.Masukkan air perapan daging tadi. Masukkan sos tiram, sos cili, sos ikan. Kacau.

5.Masukkan lada benggala, bunga kobis dan bawang besar. Masukkan garam dan gula secukupnya. Bila kuah pekat bolehlah diangkat dan hidang bersama tomyam dan nasi putih.

1 ulasan:

  1. Assalam ..mak mertuaku..hehehe Macam sedap ajer Panglima tengok resepi masakkan tuan...heeeeeee meleleh ayaq liuq.

    BalasPadam